Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat: 17 warga asing ditahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Seramai 17 orang warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, untuk siasatan lanjut semasa Operasi Kabat yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di dua buah lokasi berasingan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, di sini, Operasi Kabat 122/24 telah menyasarkan gedung perniagaan di Mukim Sengkurong dan Mukim Kilanas.

    Empat daripada sembilan orang warganegara asing yang diperiksa dipercayai telah melakukan kesalahan, di mana dua dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan seorang daripadanya juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

    Manakala dua lagi daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Akta Imigresen iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.

    Sementara itu, semasa Operasi Kabat 123/2024 yang menyasarkan rumah dan bilik-bilik sewa pekerja asing di Mukim Pengkalan Batu dan Mukim Sengkurong telah menjalankan pemeriksaan ke atas 23 orang warganegara asing dan 13 daripadanya telah ditahan.

    Pegawai JIPK melakukan pemeriksaan semasa Operasi Kabat 122/24. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    Pegawai JIPK membuat pemeriksaan semasa Operasi Kabat 123/2024. – GAMBAR SERAHAN JIPK

    Lapan orang daripada warganegara asing tersebut gagal mengemukakan dokumen asal yang mana seorang daripadanya juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Akta Imigresen, Penggal 17.

    Manakala itu, lima warganegara asing tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17.

    Selain daripada itu, JIPK turut mengongsikan dua pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu merupakan hasil daripada Operasi Kabat 123/2024.

    Dwi Puji Wijayanti, wanita berumur 40 tahun dan Emiliya, wanita berumur 56 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda $1,000 sebagai gantian kepada hukuman sebat bagi kesalahan tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan gagal membayar jumlah gantian kepada sebatan tersebut dan menjadikan hukuman penjara mereka kepada empat bulan bermula dari hari pertama mereka direman pada 31 Oktober.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Nur Eleyana binti Dato Paduka Haji Hairol Arni dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin.

    Bagi sebarang maklumat berhubung dengan pesalah imigresen, JIPK mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi talian hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda