Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat tahan enam warga asing

    BELAIT, 30 OKT – Dalam usaha membanteras pesalah-pesalah imigresen yang berada di Negara Brunei Darussalam, enam warga asing telah ditahan dalam dua Operasi Kabat yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Cawangan Kuala Belait, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan JIPK, Operasi Kabat 119/2024 yang dijalankan menyasarkan dua tempat penginapan pekerja asing di Mukim Liang dan Mukim Belait, di mana sembilan warga asing telah diperiksa dan tiga daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Hasil pemeriksaan, ketiga-tiga warga asing tersebut gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang lengkap dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.

    Sementara itu, Operasi Kabat 121/2024 dijalankan oleh JIPK yang menyasarkan di sebuah kawasan projek pembinaan di Mukim Seria, di mana tiga warga asing diperiksa dan kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Hasil pemeriksaan tersebut, seorang daripada warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17.

    Sementara itu, seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.

    Manakala, seorang daripada warganegara asing tersebut turut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bersubahat mengambil warganegara asing berkenaan untuk bekerja tanpa pengetahuan majikan asal.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).

    Pemeriksaan yang dijalankan oleh JIPK di salah sebuah tempat penginapan pekerja asing. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JIPK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda