Ops Langis: 2 warga asing diperiksa

BELAIT, 5 OGOS – Seorang perempuan warga asing telah ditahan dan seorang lagi disiasat dalam Operasi Langis yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kerajaan (JIPK) Kuala Belait di kawasan Lumut, pagi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, perempuan berkenaan, ditahan di bawah Bab 55 (4) (a) (b) (c) Akta Imigresen Penggal 17 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan juga merupakan seorang pekerja lari daripada majikan.

Sementara itu, seorang lagi perempuan warga asing berjawatan pembuat roti telah diperiksa dan disiasat kerana dipercayai melanggar peruntukan di bawah Peraturan 15(3) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut apa yang tercatat dalam pas kerja yang dibenarkan.

Kenyataan menyatakan bahawa majikan telah dikeluarkan surat panggilan untuk menghadirkan diri ke bahagian berkenaan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, JIPK mengingatkan bahawa aktiviti penguatkuasaan di negara ini akan ditingkatkan dengan melaksanakan pemantauan, operasi dan pemeriksaan secara berterusan dengan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait) di mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan semasa operasi berkenaan. – Gambar serahan JIPK