Ops Langis: 4 warga asing ditahan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BELAIT, 10 JUN – Seramai 11 orang warga asing dan seorang warganegara Brunei yang
menghuni rumah sewa pekerja asing di Kampung Tasik Meradun telah diperiksa dalam Operasi Langis 68/2021 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), cawangan Daerah Belait, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, hasil pemeriksaan tersebut, empat orang lelaki warga asing telah ditahan bagi siasatan selanjutnya di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c) Akta Imigresen Penggal 17 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang
sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas dua daripada warga asing yang ditahan dipercayai menyalahi Bab 15(1) Akta Imigre-sen Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.

Justeru itu, ketua pegawai imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Kuala Belait dalam kenyataan itu menyarankan bagi meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan pemantauan, operasi dan pemeriksaan secara berterusan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (BSB) serta 8984111 (KB) di mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Anggota penguatkuasaan undang-undang JIPK ketika membuat pemeriksaan terhadap warga asing di rumah sewa pekerja asing di Kampung Tasik Meradun, baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK