Ops Langis: Pas imigresen mansuh, seorang wanita ditahan

Oleh Nurdiyanah R.

BELAIT, 23 JUN – Seorang perempuan warga asing telah ditahan di salah sebuah tempat tinggal di Jalan Kuala Balai, Kuala Belait di atas kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini dan pas imigresen mansuh semasa Operasi Langis 74 / 2021 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), cawangan Daerah Belait, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK Kuala Belait, seorang lelaki warga asing juga telah disiasat di bawah Bab 55 (1) (d) Akta Imigresen Penggal 17 kerana dipercayai memberikan perlindungan kepada pesalah tersebut.

Justeru itu, ketua pegawai imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Kuala Belait dalam kenyataan itu menyarankan bagi meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan pemantauan, operasi dan pemeriksaan secara berterusan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

JIPK juga mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 (BSB) serta 8984111 (KB) di mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Anggota penguatkuasaan Undang-undang JIPK ketika menjalankan Operasi Langis di salah sebuah tempat tinggal di Jalan Kuala Balai, Kuala Belait, kelmarin. – Gambar serahan JIPK Kuala Belait