Ops Langis: Seorang warga asing disiasat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Bagi memastikan undang-undang serta peraturan imigresen terus dipatuhi, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) terus giat menjalankan operasi-operasi pemeriksaan.

Kelmarin, bahagian berkenaan telah menjalankan Operasi Langis JIPK 09/2021 di kawasan Jalan Bukit Sinadur, Perumahan Mengkubau, Mukim Mentiri di mana seorang warganegara asing disiasat lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan aktiviti berjaja menggunakan kereta persendirian, yang melanggar peruntukan Peraturan 15 (3) iaitu bekerja tidak mengikut apa yang tercatat di dalam pas kerja yang dibenarkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, warga asing berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK Bandar Seri Begawan untuk disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17.

Sehubungan itu, JIPK mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja mereka masih sah kerana menjadi kesalahan sekiranya pekerja berkenaan bekerja sedangkan pas imigresen telah mansuh serta menasihatkan supaya majikan sentiasa mengetahui keberadaan pekerja mereka setiap masa.

JIPK juga memberikan amaran kepada mana-mana warganegara asing yang melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan akan dihadapkan ke mahkamah, dipenjarakan dan diusir ke negara asal dan di senarai hitamkan.

Dalam pada itu, JIPK akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan itu, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

Seorang warga asing disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan aktiviti berjaja menggunakan kereta persendirian.- Gambar serahan JIPK