Ops Langis tahan, siasat dua warga asing

BELAIT, 13 APRIL – Seorang wanita warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) cawangan Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan selanjutnya semasa Ops Langis JIPK 50/2021 yang diadakan di sebuah rumah sewa pekerja asing di Jalan Maulana, hari ini.

Menurut kenyataan JIPK, operasi melibatkan pihak penguat kuasa (JIPK) yang diketuai oleh pegawai imigresen kanan bersama enam orang anggota telah mendapati wanita tersebut merupakan seorang pekerja yang dilaporkan lari daripada majikan dan telah melanggar peruntukan di bawah Peraturan 15(1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini.

Manakala, seorang lagi wanita warga asing turut disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan seterusnya dibawa ke bahagian tersebut untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Sehubungan dengan itu, JIPK akan sentiasa meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

Seorang wanita yang disiasat semasa Ops Langis. – Gambar serahan JIPK