Ops ‘Merati’ tegur premis langgar peraturan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Bagi memastikan premis-premis perniagaan di Negara Brunei Darussalam mengikut peraturan yang telah ditetapkan, Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah menjalankan Operasi ‘Merati’ di premis perniagaan di beberapa buah kawasan, hari ini.

Operasi di kawasan Kampung Gadong, Kiulap, Serusop, Berakas, Menglait, Kiarong, Batu Bersurat dan Batu Satu itu telah mendapati bahawa beberapa restoran yang tidak mematuhi arahan-arahan telah dikeluarkan. Manakala kelmarin, beberapa buah premis turut diperiksa di Bandar Seri Begawan.

Ini termasuklah tidak menyediakan kod QR BruHealth di premis restoran, tidak menyediakan penanda pelekat (sticker) bagi tujuan penjarakan fizikal di kaunter pembayaran dan tempat meja makan, kakitangan tidak memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan pakai buang serta tidak mengawal kemasukan pelanggan mengikut 30 peratus kapasiti kemasukan yang dibenarkan.

Pengurus premis perniagaan yang didapati membuat kesalahan-kesalahan berkenaan telah diberikan teguran dan dicatitkan dalam rekod rondaan Unit Penguatkuasaan Kesihatan bagi tujuan rondaan dan pemeriksaan susulan pada masa akan datang.

Operasi melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan itu bertujuan untuk membuat rondaan dan pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan khususnya restoran-restoran dalam memastikan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam pengawalan jangkitan COVID-19 dipatuhi oleh para pengurus dan kakitangan premis.

Penguat kuasa memeriksa salah sebuah premis di Serusop ketika Operasi ‘Merati’ dijalankan di beberapa kawasan, kelmarin.

Ini termasuklah pelaksanaan pemeriksaan suhu badan kepada setiap pelanggan, penggunaan kod QR BruHealth, langkah-langkah penjarakan fizikal dan kapasiti kemasukan premis, penggunaan penutup mulut dan hidung dan sarung tangan pakai buang serta penyediaan pensanitasi tangan.

Selain itu, ia juga bertujuan memberikan nasihat kepada pelanggan-pelanggan restoran untuk menggunakan aplikasi BruHealth (jika didapati tidak menggunakannya) semasa mengunjungi restoran dan memberi teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan Kementerian Kesihatan, serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di premis perniagaan mereka.

Apa yang paling penting adalah mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut seterusnya mencetak kod QR dan melekatkannya di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis, melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan di pintu masuk dan memastikan pelanggan mematuhi garis panduan penjarakan sosial di samping mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan.