SANDAKAN, 24 Sept – Sebanyak 60 premis disyaki menjual minuman keras dan rokok seludup di negeri ini akan menjadi sasaran dalam ‘Ops Pacak’ yang dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Operasi itu dimulakan di daerah ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Seri Zulkifli Yahya di sini, hari ini.
Di daerah ini, terdapat 20 premis akan menjadi sasaran dalam operasi tersebut.
Zulkifli pada sidang media selepas majlis pelancaran operasi itu berkata, premis yang dikenal pasti itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam dan risikan jabatan itu sendiri.
Katanya premis tersebut akan digempur bagi mengesan penjualan minuman keras dan rokok yang tiada cukai kastam.
“Pelaksanaan operasi ini antara tindakan yang diambil JKDM bagi memerangi aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dari segi kehilangan hasil pungutan cukai. Hadir sama, Presiden MPS Datuk Peter Hii Chang Lik.
Beliau berkata pelaksanaan Ops Pacak di negeri ini adalah kali kedua dijalankan selepas di Kota Kinabalu pada tahun lepas.
Menurutnya sejak Januari hingga Ogos lepas, sebanyak 12 batang juta rokok seludup, dirampas yang membabitkan cukai sebanyak RM8 juta di negeri ini. – Bernama