Ops Peralihan: 11 pelanggaran dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Sebanyak 11 pelanggaran arahan telah direkodkan semasa sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang dijalankan di seluruh negara dari pukul 10 malam hingga 4 pagi tadi di mana para pesalah telah pun dikeluarkan denda kompaun.

“Sepuluh daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala satu lagi pelanggaran arahan yang didapati adalah atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa daripada 11 pelanggaran arahan tersebut, lapan kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara dan tiga lagi didapati di Daerah Tutong.