Ops Peralihan: Hanya satu pelanggaran dicatatkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Hanya satu pelanggaran arahan telah dicatatkan dan dikenakan kompaun dalam Operasi Peralihan yang dijalankan dari 10 malam hingga 4 pagi tadi.

Kesalahan itu adalah pelanggaran untuk berada di rumah, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa kesalahan tersebut telah dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara.

Kenyataan menyatakan bahawa ketika ini negara telah memasuki Fasa Peralihan di mana pelaksanaan langkah-langkah sekatan telah pun dikurangkan secara berperingkat.

Namun masyarakat dikehendaki untuk tidak bersikap alpa dan terus memberi komitmen penuh dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan yang ditetapkan pihak kerajaan bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan juga kluster kes-kes yang baharu, tegas PPDB dalam kenyataan.

Pihak kerajaan pasti dan percaya bahawa penduduk negara akan berhasil mengharungi kehidupan dalam norma baharu ini selagi mana penekanan terhadap tanggungjawab ditanai dan dipatuhi dengan komitmen dan kewaspadaan yang tinggi.

ATAS & BAWAH: Anggota polis semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pada Operasi Peralihan yang dijalankan kelmarin. – Gambar Serahan Kementerian Kesihatan dan PPDB.