Ops Peralihan: Sembilan pelanggaran arahan direkodkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Sembilan pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Peralihan yang dijalankan dari pukul 10 malam hingga 4 pagi tadi.

Kesemua kesalahan berkenaan adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa tujuh pelanggaran telah didapati di Daerah Brunei dan Muara dan dua lagi di Daerah Belait.

Kenyataan menyatakan, dengan meningkatnya kadar vaksinasi penduduk negara yang telah mencapai 80 peratus ketika ini, pembukaan sektor-sektor perniagaan serta pengurangan langkah-langkah sekatan telah bermula secara berperingkat dalam hala tuju negara melaksanakan pelan pemulihan negara secara komprehensif.

Namun, dalam intervensi melaksanakan dan menjayakan hasrat berkenaan dengan secara mampan, sistem pengawalan yang utuh serta pendekatan secara whole-of-nation perlu disematkan pada setiap lapisan masyarakat dalam aspek prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan pembendungan dan pengawalan wabak COVID-19 ini sentiasa dipatuhi dan ditaati pada tahap yang tertinggi, tegas PPDB.

Menurut PPDB, pemantauan dan penilaian yang rapi pada setiap perkembangan berkaitan wabak COVID-19 sentiasa dikemas kini bagi memastikan sistem kesihatan dan pergerakan masyarakat awam sentiasa terkawal dengan sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, setiap lapisan masyarakat di negara ini diseru agar dapat memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan dengan sentiasa mempraktikkan disiplin dan rasa tanggungjawab dengan penuh dedikasi melalui pematuhan SOP COVID-19 seperti pemakaian sungkup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sosial serta sentiasa memastikan penjagaan kebersihan dan juga keselamatan diri.