Ops Pulih: 10 kompaun dikeluarkan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Jumlah pelanggaran arahan di bawah Operasi Pulih semakin berkurangan dengan 10 pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun dari 8 malam hingga 4 pagi tadi.

“Tujuh daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, dua pelanggaran arahan adalah bagi kesalahan tidak mempunyai BruHealth, dan satu lagi kesalahan tidak memakai pelitup muka, tambah beliau.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa daripada jumlah pelanggaran arahan tersebut, lapan daripadanya didapati di Daerah Brunei dan Muara, dan dua lagi di Daerah Belait.

Dalam kenyataan itu, PPDB menegaskan bahawa dalam memastikan pihak kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun ketika berdepan dengan pandemik COVID-19, masyarakat awam juga perlu mengambil peranan yang aktif dalam bersatu tenaga menamatkan kerakusan penularan virus COVID-19.

Gambar individu-individu yang didapati melanggar arahan semasa Operasi Pulih.