Ops Pulih: 10 lagi ingkari larangan keluar rumah

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Masih ada yang melanggar arahan larangan keluar rumah di bawah Operasi Pulih apabila 16 kesalahan telah dicatatkan dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi hasil pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau, daripada 16 pelanggaran arahan tersebut, 10 daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa daripada 16 pelanggaran arahan itu, 13 didapati di Daerah Brunei dan Muara, dan tiga lagi di Daerah Belait. Terdahulu, PPDB menjelaskan bahawa kesedaran masyarakat awam terhadap penularan wabak COVID-19 merupakan tunjang utama bagi langkah-langkah pencegahan dan pengawalannya. Perkara ini, tegas PPDB, adalah mustahak dan perlu diambil perhatian sewajarnya agar setiap individu, ahli keluarga, masyarakat serta penduduk negara, bebas daripada jangkitan pandemik ini.

Anggota PPDB semasa memeriksa dokumen pengesahan pada Operasi Pulih malam tadi.