Ops Pulih: 11 kesalahan dikenakan denda kompaun

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sebanyak 11 kesalahan telah dikesan dan dikenakan denda kompaun oleh anggota penguat kuasa semalam semasa Operasi Pulih dijalankan bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini mengatakan daripada 11 kesalahan itu, enam melanggar arahan untuk berada di rumah, satu kesalahan tidak memiliki BruHealth dan empat kesalahan tidak menggunakan pelitup muka.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menyatakan sembilan kesalahan didapati di Daerah Brunei Muara manakala dua kesalahan di Daerah Tutong.

PPDB dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya bersama agensi penguatkuasaan yang berkaitan memandang serius terhadap sebarang pelanggaran arahan yang dilakukan di
sepanjang fasa peralihan berkuatkuasa.

Semasa musim fasa peralihan ini, orang ramai adalah ditegaskan untuk tidak bersikap alpa dan leka dengan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan.

PPDB juga menasihatkan untuk tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa berwaspada untuk melindungi diri sendiri dan sesama sendiri.

Kesiapsiagaan kerajaan dalam mempersiapkan negara menyusuri Fasa Peralihan amatlah disanjung dan dihargai di mana kebajikan dan kesejahteraan serta kesihatan masyarakat sentiasa didahulukan dan diutamakan.

Justeru, sokongan penduduk dan rakyat negara adalah amat diperlukan bagi memastikan proses pemulihan melalui fasa ini dilaksanakan dengan selamat, berwaspada dan membuahkan hasil dengan jayanya.