Ops Pulih: 12 kompaun dikeluarkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sebanyak 12 lagi pelanggaran arahan telah dikesan di seluruh negara dalam Operasi Pulih yang dijalankan bermula 8 malam hingga 4 pagi tadi.

“Daripada kesalahan yang ditemui itu dan telah dikeluarkan denda kompaun, tujuh daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk teranah di rumah,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan, tujuh kesalahan telah dikesan di Daerah Brunei dan Muara, manakala lima kesalahan di Daerah Belait.

PPDB menyatakan, dalam memastikan pembendungan penularan itu berhasil dengan jayanya, barisan hadapan dikehendaki untuk sentiasa cekal, nekad dan membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kemaslahatan negara, nusa dan bangsa yang tercinta.

Adalah diperingatkan kepada masyarakat awam untuk sentiasa mengikuti segala
arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan semasa Operasi Pulih dijalankan, menurut kenyataan itu.

Pihak penguatkuasaan yang ditugaskan tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan penugasan dan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 mahupun sebarang akta yang berbaur perilaku jenayah di sepanjang operasi dilaksanakan.

Melalui operasi pulih itu, pihak kerajaan telah mengambil pendekatan yang betul dan keputusan tepat dalam usaha membendung wabak ini.