Ops Pulih: 273 kesalahan dikesan sejak 4 Okt

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sebanyak 42 pelanggaran arahan larangan keluar rumah jam 8 malam hingga 4 pagi telah dikesan semasa pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan yang dilakukan semalam di seluruh negara dan dikenakan denda kompaun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikan jumlah kesalahan bagi Operasi Pulih itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dengan angka tersebut, jumlah keseluruhan pelanggaran arahan semasa Operasi Pulih selama lapan hari ialah sebanyak 273 pelanggaran.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hasil daripada operasi semalam telah mendapati sebanyak 30 kesalahan dikesan di Daerah Brunei dan Muara; lima ke-salahan di Daerah Belait; lima lagi kesalahan di Daerah Tutong; dan dua kesalahan di Daerah Temburong.

“Majoriti daripada kesalahan itu melibatkan pelanggaran perintah arahan teranah di rumah diikuti dengan kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth serta tidak memakai pelitup muka,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, PPDB sekali lagi menekankan dan menegaskan kepada orang ramai agar lebih peka dengan arahan dan perintah kerajaan untuk teranah di rumah masing-masing sepanjang Operasi Pulih.

“Bersama-samalah berganding bahu dan mengambil peranan masing-masing dalam usaha negara memulihkan kembali keadaan kehidupan seperti sedia kala,” menurut kenyataan PPDB.

Agensi-agensi penguat kuasa dan anggota PPDB ketika menjalankan pemantauan dalam Operasi Pulih.
Anggota penguat kuasa memeriksa sebuah kenderaan semasa Operasi Pulih yang diadakan baru-baru ini.