Ops Pulih: 28 dikenakan kompaun

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Operasi Pulih hari ketiga bagi perintah duduk di rumah dari jam 8 malam sehingga 4 pagi, mendapati 28 orang melanggar arahan tersebut di seluruh negara dan dikenakan kompaun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan tersebut demi memulihkan semula negara daripada jangkitan COVID-19.

Manakala dalam kenyataan diterima daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain mengatakan 16 kesalahan itu dikesan di Daerah Brunei dan Muara, tujuh di Daerah Belait, tiga di Daerah Tutong dan dua kesalahan di Daerah Temburong.

PPDB menegaskan bahawa kerjasama masyarakat awam sangat-sangat diharapkan bagi sama-sama memikul tanggungjawab memutuskan rantaian COVID-19 ini dengan sebaiknya.

PPDB juga menjelaskan bahawa kerja keras dan strategi barisan hadapan ketika ini akan menjadi sia-sia sekiranya masih terdapat dalam kalangan masyarakat yang bersikap sambil lewa malah mengambil sikap mudah akan perintah yang dikeluarkan.