Ops Pulih: 9 pelanggaran masih dikesan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sembilan pelanggaran arahan telah dikesan semasa Operasi Pulih yang dijalankan di seluruh negara dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi dan telah dikeluarkan denda kompaun.

“Tujuh daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Manakala itu, tambah beliau, satu kesalahan adalah kerana tidak memakai pelitup muka dan satu lagi bagi kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan, menyatakan bahawa daripada sembilan pelanggaran arahan tersebut, lima telah didapati di Daerah Brunei dan Muara, dua di Daerah Tutong, manakala dua lagi kesalahan didapati di Daerah Temburong.

PPDB turut mengongsikan bahawa Daerah Polis Brunei Muara telah bekerjasama dengan Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk mengendalikan operasi bersepadu secara serentak di beberapa kawasan strategik di Daerah Brunei dan Muara semalam, berkesinambungan dengan Operasi Pulih yang sedang giat dijalankan ketika ini. Hasil daripada operasi sepadu tersebut, seorang wanita warga tempatan berumur 34 tahun telah ditahan dan ditangkap bagi siasatan oleh PPDB dan BKN kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (APB) dan Akta Penyalahgunaan Dadah (APD). Kes tersebut akan dihadapkan kepada pihak pendakwa raya bagi pendakwaan. Kenyataan menjelaskan, operasi sepadu itu berobjektif untuk membantu menanai hasrat kerajaan dalam memastikan penurunan jumlah kes jangkitan serta merendahkan lengkungan wabak COVID-19 ini segera tercapai dalam menuju fasa pemulihan negara.

Selain daripada perlaksanaan penuh ke atas tindakan di bawah APB Penggal 204, PPDB menambah, operasi sepadu itu juga memberikan penekanan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang meliputi kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan juga di bawah Akta APD Penggal 27. Di samping itu, pemeriksaan ujian saringan air kencing turut segera dijalankan di tempat kejadian jika terdapat individu yang didapati melanggar perintah berkenaan dalam keadaan meragukan dan mencurigakan.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mengendalikan operasi bersepadu lebih ketat bagi Ops Pulih termasuklah pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atas individu yang didapati melanggar arahan itu yang dalam keadaan mencurigakan. – Gambar serahan PPDB
Antara yang melanggar arahan teranah di rumah.