Ops Pulih catat 18 pelanggaran

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sebanyak 18 pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Pulih yang dijalankan dari jam 8 malam hingga jam 4 pagi tadi.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, 13 daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.

Yang Berhormat Dato mengongsikannya semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Lima kesalahan yang lain pula adalah kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth iaitu tiga kesalahan, dan dua kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai supaya terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam membantu pihak kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada 18 pelanggaran arahan tersebut, 15 kesalahan telah dicatat di Daerah Brunei dan Muara, dan tiga lagi kesalahan telah dicatat di Daerah Belait.

PPDB dalam kenyataannya turut mengongsikan bahawa dunia global telahpun beralih tumpuan dalam menangani virus wabak COVID-19 daripada situasi pandemik kepada pengurusan penyelesaian endemik.

“Negara juga tidak ketinggalan dalam menggembleng usaha untuk mengelak wabak ini daripada mendominasi kehidupan penduduk,” kongsi PPDB.

“Malah, masyarakat awam perlu mempersiapkan diri dalam menghadapi hakikat berkemungkinan tidak akan kembali kepada kehidupan biasa masa lalu, bahkan bakal menjalani kehidupan dalam keadaan suasana norma yang baharu,” tambah kenyataan lagi.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan semasa Operasi Pulih yang berlangsung kelmarin.