Ops Pulih dilanjut 18 Nov

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Operasi Pulih akan dilanjutkan selama empat hari lagi iaitu bermula 15 hingga 18 November ini iaitu arahan untuk berada di rumah dari pukul 8 malam sehingga 4 pagi.

Lanjutan tempoh Operasi Pulih itu adalah sementara menunggu pelaksanaan fasa peralihan pada 19 November nanti, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kenyataan yang diumumkan semasa sidang media di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa apabila memasuki fasa peralihan nanti, Operasi Pulih akan dikenali sebagai Operasi Peralihan iaitu bermula 19 November hingga 30 November, yang mana tempoh masanya akan dipendekkan dari pukul 10 malam hingga 4 pagi.

“Ini mengambil kira pembukaan premis-premis dalam fasa peralihan sekali gus akan dapat membantu meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan semua di samping untuk memastikan keadaan COVID-19 yang semakin stabil dapat diteruskan,” katanya.