Ops Pulih dilanjutkan, kompaun kini $500

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani dan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Langkah-langkah pengawalan di bawah Operasi Pulih akan dilanjutkan selama 14 hari lagi dari Isnin, 18 Oktober sehingga Ahad, 31 Oktober 2021, manakala denda bagi mereka yang mengingkari larangan keluar rumah pada jam 8 malam sehingga 4 pagi pula dinaikkan $500.

Ia dilanjutkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam setelah mengambil kira situasi jangkitan wabak COVID-19 yang masih belum menunjukkan penurunan.

Langkah tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Selain itu, menurutnya, keberkesanan langkah-langkah pengawalan ini akan dapat dilihat selepas dua tempoh penuh inkubasi bagi virus berkenaan iaitu selama empat minggu.
Beliau turut menjelaskan bahawa semenjak pelaksanaan ‘Operasi Pulih’ yang mula berkuat kuasa 10 hari yang lalu, banyak perkara telah dipelajari di sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

“Oleh itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak amnya dan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam khasnya di atas kesabaran mereka dalam terus mematuhi garis panduan kesihatan dan sekatan-sekatan yang telah ditetapkan dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini,” katanya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengumumkan pelanjutan Ops Pulih.
Anggota penguat kuasa ketika memeriksa dokumen pemandu sebuah kenderaan semasa Operasi Pulih di ibu negara.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa juga terdapat segelintir masyarakat masih didapati ingkar dan melanggar peraturan yang ditetapkan di sepanjang ‘Operasi Pulih’ berkenaan dan ianya jelas menimbulkan kebimbangan bagi kita semua. Oleh itu, jumlah denda kompaun bagi pelanggaran peraturan berkaitan Operasi Pulih akan dinaikkan daripada $100 kepada $500 bagi setiap kesalahan.

“Selain itu, denda kompaun juga akan dilaratkan kepada pihak syarikat yang mana pekerja-pekerjanya didapati meninggalkan tempat tinggal pada waktu Operasi Pulih (8 malam hingga 4 pagi) tanpa surat pengesahan yang sah dengan dikenakan denda berjumlah $500 bagi setiap kesalahan,” tegas Yang Berhormat Dato.

Mana-mana individu yang didapati tidak patuh kepada peraturan langkah-langkah Operasi Pulih dan dikenakan denda akan diterbitkan nama masing-masing melalui media massa, sama ada nama individu mahupun nama syarikat dan pekerja.

Sebagai tambahan, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 yang beroperasi selama 24 jam setiap hari, jika terdapatnya sebarang insiden pelanggaran peraturan atau prosedur operasi standard. Antara talian ‘hotline’ yang boleh dihubungi ialah 8176148; 8175148; 8166148 dan 8155148.