Ops Pulih dilanjutkan sehingga 14 November

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Langkah-langkah pengawalan Operasi Pulih akan dilanjutkan lagi selama 14 hari dari 1 November sehingga 14 November 2021.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengumumkan perkara itu bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Pelanjutan adalah sebagai langkah bagi mempersiapkan negara ke arah proses pemulihan untuk menghadapi norma baharu dalam kehidupan seharian, dengan mengawal keadaan penyakit COVID-19 dan memberikan masa untuk meningkatkan liputan vaksinasi penduduk negara bagi mencapai sasaran yang dihasratkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengumumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Walaupun kadar jangkitan harian masih menunjukkan jumlah kes yang tinggi, namun jumlah pesakit-pesakit yang kritikal, iaitu dalam kategori 4 dan 5, adalah stabil dan tidak
menunjukkan peningkatan,” tambah beliau.

Selain itu, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua turut mengongsikan Operasi Pulih yang dijalankan telah membuka peluang bagi pihak kerajaan untuk mengenal pasti trend dan corak jangkitan yang sebenar serta mengenal pasti perkara-perkara yang memerlukan perhatian lanjut. 

Di samping itu, Program Vaksinasi Kebangsaan juga telah menunjukkan keberkesanannya dan negara berada di landasan yang tepat ke arah mencapai sasaran 80 peratus menjelang penghujung tahun 2021. 

“Pelanjutan Operasi Pulih ini juga akan memberikan pihak kerajaan ruang dan masa untuk mempercepatkan lagi usaha pemberian vaksin kepada rakyat dan penduduk negara ini, khususnya program vaksinasi yang akan dilaratkan kepada individu berumur dalam lingkungan 12 hingga 17 tahun, dan pada masa yang sama untuk meningkatkan lagi usaha dalam menangani isu-isu berkaitan risiko jangkitan COVID-19 ini,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua juga menerangkan sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar bahawa dua pertiga daripada kes-kes jangkitan yang dikesan semasa tempoh Operasi Pulih ini dijalankan adalah berpunca daripada kluster-kluster tempat kerja dan tempat tinggal pekerja, khususnya pekerja asing. 

Anggota polis ketika menjalankan pemantauan Ops Pulih malam tadi. – Gambar serahan Pasukan Polis Diraja Brunei.