Ops Pulih: enam lagi pelanggaran dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Enam pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Pulih dijalankan di seluruh negara dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi.

“Lima daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, tambah beliau, satu lagi pelanggaran arahan yang didapati adalah atas kesalahan tidak mempunyai aplikasi BruHealth.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataannya pula mengongsikan bahawa daripada jumlah pelanggaran arahan tersebut, lima kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara, dan satu di Daerah Belait.

PPDB dalam kenyataannya juga menekankan mengenai arahan terhadap garis panduan kesihatan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial serta penggunaan aplikasi BruHealth yang kekal menjadi teras dan masih lagi diteruskan pihak kerajaan walaupun negara sudah memasuki waktu Fasa Peralihan nanti.

Justeru, tegas PPDB, pematuhan orang ramai terhadap arahan tersebut perlu dicakna dan diikuti sepenuhnya bagi memberikan peluang kepada pihak kerajaan membuat sebarang penilaian awal dengan persediaan-persediaan yang mampan lagi kolektif sebelum menghadapi fasa seterusnya iaitu Fasa Endemik.

Namun, dalam keterujaan sebahagian masyarakat terhadap kelonggaran dan pengurangan langkah-langkah kawalan yang bakal dijalani semasa Fasa Peralihan, PPDB menasihatkan rakyat negara ini untuk bukan sahaja mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 malah beringat bahawa segala aktiviti dan tindakan yang dilakukan adalah masih di bawah pemantauan dan penguatkuasaan pihak kerajaan.

Oleh itu, PPDB menegaskan, sebarang pelanggaran peraturan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Di hujung kenyataannya, PPDB menjelaskan bahawa momentum kerjasama antara kerajaan dan masyarakat adalah mustahak dan wajar diteruskan agar usaha dalam pembendungan penularan wabak COVID-19 dihasilkan dengan jayanya.