Ops Pulih: Enam pelanggaran arahan dicatat

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Hasil daripada pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan semasa larangan keluar rumah, di bawah Operasi Pulih, dari 8 malam hingga 4 pagi tadi, enam pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun.

“Lima daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa daripada jumlah kesalahan yang dicatatkan pada hari ke-23 Operasi Pulih itu, lima kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara dan satu lagi kesalahan di Daerah Belait.

PPDB menegaskan bahawa tidak dinafikan lagi, dalam tempoh hampir tiga bulan kebelakangan ini, pastinya masyarakat awam sudah terkesan dengan bahang wabak pandemik COVID-19 sehingga telah mengalami perubahan yang drastik dalam pencorakan kelangsungan hidup seharian.

Hakikatnya, apa pun cabaran yang bakal mendatang, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka oleh pihak kerajaan perlu dituruti bagi menantikan imuniti kelompok tercapai sepenuhnya,” jelas kenyataan tersebut.

Adalah jauh lebih mudah menuruti segala arahan dan SOP yang ditetapkan berbanding mengalami kesengsaraan dan kedukaan yang panjang dan teruk akibat daripada penularan wabak COVID-19 ini, tegas PPDB.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan semasa Operasi Pulih kelmarin.