Ops Pulih: Masih ada yang ingkar

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Jumlah kesalahan yang didapati dalam Operasi Pulih yang dijalankan kelmarin bermula 8 malam hingga 4 pagi tadi telah menunjukkan pengurangan dengan hanya melaporkan enam kes.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini mengongsikan bahawa daripada jumlah tersebut, hanya tiga daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah dan telah dikeluarkan denda kompaun.

Sementara itu, menurut kenyataan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada enam pelanggaran kesalahan yang melibatkan perintah di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 itu, empat daripadanya dikesan di Daerah Brunei dan Muara dan dua kesalahan lagi di Daerah Belait.

Menerusi jumlah dapatan terhadap pelanggaran akta berkenaan mendapati masih terdapat segelintir masyarakat awam yang masih degil terhadap pematuhan arahan berkenaan.

Oleh yang demikian, PPDB dalam kenyataannya mengingatkan dan menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar dan akan memastikan tindakan setimpal akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah termaktub di Negara Brunei Darussalam.

Anggota PPDB ketika menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan semasa Operasi Pulih.
Pihak polis ketika menjalankan pemeriksaan dalam Operasi Pulih.
ATAS & BAWAH: Antara yang melanggar arahan duduk di rumah dalam Operasi Pulih.