Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sanggah kesan beberapa kesalahan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Beberapa kesalahan telah dikesan semasa Operasi Sanggah 197/2020 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (LED), Jabatan Buruh di Pasar Ikan Jerudong dan Pasar Tani Setenaga, baru-baru ini.

    Operasi yang bermula pada pukul 2 petang dan melibatkan tiga orang pegawai penguat kuasa dari LED itu menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja-pekerja asing dan hasil pemeriksaan berkenaan telah mendapati kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009, yang mana majikan dipercayai tidak memberi pekerja rehat satu hari dalam satu minggu.

    Turut didapati ialah kesalahan penempatan pekerja tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Asing (LPA) dan penyalahgunaan jawatan.

    Tindakan tersebut melanggar Perintah Pekerjaan 2009 di bawah Bab 63 (01) dan Bab 65 (4) (a) (b), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $800 di bawah Bab 79 (01) bagi kesalahan pertama, manakala itu, bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak melebihi $1,600 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Manakala itu, bagi kesalahan majikan menempatkan pekerja tidak mengikut kebenaran lesen pula melanggar akta di bawah Bab 86 dan telah melakukan kesalahan di bawah Bab 87.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Bab 148 iaitu tidak melebihi $3,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan penyalahgunaan jawatan pekerja adalah melanggar syarat-syarat LPA di bawah Bab 112 (1) di mana jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pemeriksaan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa LED semasa Operasi Sanggah. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda