Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sanggah kesan satu kesalahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Satu kesalahan telah dikesan semasa Operasi Sanggah 208/2020 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (LED), Jabatan Buruh di kawasan Kampung Jaya Setia Bakti, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, operasi yang dijalankan pada pukul 8:30 pagi tersebut telah mendapati seorang pekerja warga asing berjawatan sah sebagai pembantu dapur telah didapati melakukan kesalahan penempatan pekerja tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Asing (LPA) serta penyalahgunaan jawatan di bawah Bab 112 Perintah Pekerjaan 2009.

    Hasil daripada pemeriksaan didapati pekerja warga asing tersebut turut melakukan pekerjaan berjual-jualan barangan runcit secara kecil-kecilan dan menyewakan bilik dengan kadar $40 dan $60 sebulan.

    Jika sabit salah, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan denda kompaun kepada majikan iaitu didenda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja menurut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan, pembayaran gaji tepat pada waktunya dan memberikan tempat tinggal yang bersih. Di samping itu, dinasihatkan kepada majikan untuk tidak menyalahgunakan LPA dan melanggar akta dibawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Bilik yang disewakan oleh warga asing semasa pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa.- Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda