Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Ops Sejahtera catat 6 kesalahan

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar serahan Jabatan Buruh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Enam kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 dicatatkan dalam Operasi Sejahtera 155/2022 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh di Kampung Beribi, Jerudong dan Jalan Katimahar pada 10 Oktober lalu.

    Pemeriksaan ke atas kegiatan kedai runcit di kawasan Kampung Beribi telah mendapati dua kesalahan yang dilakukan oleh majikan iaitu membenarkan pekerja asing membuat pekerjaan lain daripada jawatan yang dibenarkan dan seorang pekerja tempatan tidak diberikan kontrak perkhidmatan.

    Seterusnya, pemeriksaan ke atas kegiatan kedai runcit, dan kedai makan di kawasan Kampung Jerudong mendapati tiga kesalahan iaitu seorang pekerja bekerja dengan syarikat lain daripada majikan yang sah, seorang pekerja asing yang berjawatan pelayan melakukan pekerjaan memasak dan seorang pekerja asing bekerja di alamat lain daripada alamat yang dibenarkan.

    Sementara itu, pemeriksaan di kedai menjual sayur di kawasan Kampung Katimahar mendapati satu kesalahan yang dilakukan oleh majikan, iaitu seorang pekerja tempatan tidak diberikan kontrak perkhidmatan.

    Bagi kesemua kesalahan, jika sabit, majikan asal dan majikan yang menggaji boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Pihak Jabatan Buruh juga ingin menasihatkan para majikan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Pegawai penguat kuasa undang-undang semasa menjalankan Operasi Sejahtera di salah sebuah kedai runcit.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...