Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Ops Sepadu gempur ‘bengkel haram’

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JPBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Sebagai langkah berterusan dalam memastikan persekitaran teratur dan selamat, satu operasi penguatkuasaan bersepadu telah dijalankan di kawasan perumahan Kampung Peninjau, Mukim Sengkurong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan, di sini, sebuah perusahaan bengkel di rumah persendirian telah didapati menjalankan perusahaan bengkel, menyimpan besi buruk dan meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan yang diguna sama oleh penduduk sekeliling tanpa kebenaran.

    Semasa operasi tersebut, Autoriti Perancang mendapati pengusaha dan pemilik tanah telah melanggar Bab 23 (2) Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO), iaitu menjalankan kegiatan perusahaan bengkel dan penyimpanan besi-besi tanpa kebenaran perancangan.

    Pengusaha telah ditegur untuk menyelaraskan kegiatan berkenaan dan dikehendaki mematuhi Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015.

    Jika gagal mematuhi teguran tersebut, pengusaha boleh dikeluarkan Notis Penguatkuasaan di bawah Bab 36 (1) yang mana jika gagal mematuhi notis berkenaan boleh dikenakan denda seperti mana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Kenderaan dan komponen kereta pengusaha bengkel tersebut yang diletakkan di tepi-tepi jalan yang sama digunakan oleh penduduk sekeliling tanpa kebenaran.
    Pegawai-pegawai penguat kuasa semasa membuat pemeriksaan di bengkel tersebut.

    Operasi penguatkuasaan bersepadu itu turut disertai oleh beberapa buah agensi penguat kuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Buruh, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Tanah dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

    Teguran bagi kesalahan berkaitan dengan penyelarasan akta masing-masing juga telah dikeluarkan kepada pengusaha dan pemilik tanah terlibat.

    Kegiatan dan perubahan penggunaan tanpa kebenaran perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.

    Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk mematuhi undang-undang yang ada dengan mendapatkan kebenaran perancangan untuk setiap pembangunan atau penggunaan tanah.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan, orang ramai boleh menghubungi hotline JPBD di talian, 8200222 atau melalui e-mel, tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...