Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ops Sepadu gempur penyeludupan, pesalah trafik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Pelbagai kesalahan telah dicatatkan dalam Operasi Sepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan diketuai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), yang dijalankan di Daerah Belait dan Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan PPDB, di Daerah Belait, sekatan jalan raya melibatkan Balai Polis Panaga dan Seria, dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Belait, Timbalan Penguasa Polis Alvin Goh.

    Operasi itu mengesan beberapa kesalahan termasuk 10 kesalahan kompaun, kesalahan di bawah JPD yang melibatkan Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 dan dua kesalahan melibatkan perintah eksais 2006.

    Pemeriksaan ke atas pemandu dan kenderaan adalah bagi memastikan pematuhan peraturan lalu lintas di samping memastikan mereka tidak memiliki barangan tegahan.

    Sementara itu di Daerah Temburong, operasi yang melibatkan Daerah Polis Temburong, JKED, BKN dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri telah menyasarkan tiga kediaman di Kampung Sulok, Pekan Bangar Baru dan Kampung Sungai Tanit dengan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis Haji Irham bin Haji Muhd Arshad.

    Antara barangan seludup yang dirampas semasa Operasi Sepadu di Daerah Temburong baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB

    Hasil operasi itu telah menemukan beberapa kesalahan seperti penemuan satu karton, 10 paket dan 20 batang rokok serta wang berjumlah $3,291 dipercayai hasil daripada jualan barang tegahan.

    Di lokasi lain pula menemui 485 karton rokok pelbagai jenama serta 46 botol dan
    721 minuman keras pelbagai jenama. Kesemua barang rampasan telah diambil tindakan dan siasatan oleh JKED.

    Oleh yang demikian, PPDB serta agensi penguat kuasa undang-undang yang lain akan sentiasa meningkatkan usaha dalam menangani kegiatan-kegiatan negatif serta anasir-anasir jenayah hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

    Dalam pada itu, bagi mengesan dan mencegah sebarang kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di perairan negara ini, satu lagi operasi sepadu telah dikendalikan hasil kolaborasi antara Unit Operasi Khas Polis Marin, Jabatan Gerakan, PPDB, JKED dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) di kawasan persekitaran perairan zon Brunei Muara pada 13 Julai.

    Bagaimanapun, tidak ada pelanggaran kesalahan ditemukan sepanjang operasi dijalankan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...