Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Empat orang warga asing telah didapati melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17, semasa Operasi Tumpas Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 34/2022 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan JIPK, menyatakan pemeriksaan tersebut dijalankan oleh sembilan pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK dan menyasarkan kilang membuat perabot di Mukim Sengkurong, berhubung warga asing yang bekerja dengan majikan lain, bekerja tidak mengikut apa yang tercatat dalam pas kerja yang diberikan dan lari daripada majikan.
Sementara itu, keempat-empat warga asing berkenaan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK untuk siasatan lanjut.
JIPK mengingatkan, kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh didenda kompoun sebanyak $600 dan tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini selain nama-nama mereka boleh disenaraihitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Manakala majikan yang mengambil dan mengaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.