Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan JIPK
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Seramai 18 orang warga asing berjaya ditahan semasa Operasi Tumpas Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 26/2022 dan 27/2022 oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan JIPK, Operasi Tumpas JIPK 26/2022 menyasarkan beberapa buah gerai makanan dan sayur-sayuran di kawasan Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B.
Semasa operasi tersebut, seramai 12 orang warga asing telah diarahkan untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK atas beberapa kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut apa yang tercatat dalam pas kerja yang diberikan, manakala tiga orang warga asing telah ditahan atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen yang sah dan seorang daripada yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa.
Kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh didenda kompoun sebanyak $600. Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini. Nama-nama mereka boleh disenarai hitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di negara ini. Manakala majikan yang mengambil, mengaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.
Sementara itu, Operasi Tumpas JIPK 27/2022 telah dijalankan ke atas sebuah bilik sewa di kawasan bangunan perniagaan di Mukim Gadong. Semasa operasi dua orang warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati mereka dilaporkan sebagai pekerja lari daripada majikan.
Kedua-dua mereka telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang JIPK untuk disiasat di bawah Per 15(2) Peraturan Imigresen Penggal 17.
Sementara itu Penguatkuasaan mengingatkan kepada orang ramai bahawa memberi pekerjaan atau mengaji mana-mana pesalah imigresen adalah menjadi kesalahan yang mana boleh diambil tindakan undang-undang.
Pihak JIPK turut mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dengan menghubungi ke talian Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.