PASIR MAS, 27 DIS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin aktiviti sukan yang suram pada tahun ini akan kembali rancak pada tahun depan meskipun negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19.
Timbalan Menterinya Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pada masa sama kementeriannya akan memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) tidak diabaikan jika kerajaan bersetuju membenarkan beberapa acara sukan itu diadakan.
“Kita (KBS) sedang melihat segala kemungkinan sebelum menganjurkan acara-acara sukan. Disebabkan itu, kita telah memperkenalkan model gelembung sukan dan tidak membuka ruang untuk penonton bagi sesetengah sukan.
“KBS melihat bagaimana rakyat telah dapat menerima perkara baharu ketika ini namun kita yakin acara sukan akan kembali rancak pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini hari ini. Katanya model gelembung sukan yang akan diperkenalkan oleh KBS awal Januari depan ialah dengan penganjuran acara sukan permotoran percubaan di Litar Antarabangsa Sepang apabila pasukan MotoGP dari luar negara akan datang melakukan percubaan di litar tersebut. – Bernama






























