Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Orang asli: Kemiskinan punca keciciran?

    Oleh Kurniawati Kamaruddin & Sakini Said

    GUA MUSANG – Buat sekian kalinya, Jamil Gabon, 40, akan berdiri di tepi jendela pondok kediamannya yang hanya berdindingkan potongan buluh dan berbumbung daun rumbia, dan merenung tajam ke arah kebun getah seluas hampir dua hektar yang diusahakannya itu.

    Resah hati anak jati Orang Asli suku Temiar ini turut dikongsi kebanyakan penduduk kampung lain di Pos Simpor yang terletak jauh di pedalaman Gua Musang kerana keadaan itu hanya menambah lagi beban kewangan mereka yang rata-ratanya bergantung pada sumber komoditi tersebut.

    “Sudah tiga bulan tak dapat menoreh getah. Dari bulan Oktober tak ada hasil duit getah kerana tidak dapat menoreh disebabkan hujan hampir setiap hari. Memang nak pergi menoreh untuk cari duit tapi susu getah yang terkena air hujan tidak sesuai dijual, rosak, jadi sia-sia,” luah hati bapa kepada tiga orang anak ini kepada penulis.

    Keadaan itu juga menyukarkannya untuk menyara keluarga apatah lagi dia tidak mempunyai pekerjaan sampingan lain bagi menambah pendapatan dan ini bukan bermakna disebabkan sifat pemalas tetapi faktor geografi menyebabkan masyarakat Orang Asli di Pos Simpor sukar mencari sumber rezeki alternatif bagi menampung keluarga.

    Akses kepada kawasan penempatan Orang Asli itu hanyalah melalui udara dan jalan balak yang berlopak serta berbahaya dengan memakan masa lebih empat jam perjalanan ke bandar Gua Musang biarpun jaraknya hanyalah sekitar 98 kilometer.

    Suasana perkampungan Orang Asli daripada suku Temiar, di Pos Simpur yang terletak di pergunungan, sekitar 98 kilometer, tidak boleh ditemui di dalam Google Maps selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara, adalah antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman Semenanjung Malaysia. – Bernama
    Kejadian yang tidak diingini berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda 4X4 terbalik ketika hujan lebat untuk menuju ke perkampungan masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar di Pos Simpor.- Bernama
    Beginilah keadaan anak-anak Orang Asli menaiki kenderaan pacuan empat roda 4X4 untuk ke Sekolah Kebangsaan Tohoi sejauh sekitar 50 kilometer setiap dua minggu daripada Pos Simpor. – Bernama

    Pendidikan atau makanan?

    Pendapatan yang tidak seberapa itu sudah tentunya sukar untuk Jamil dan penduduk Orang Asli lain menyimpan wang yang boleh digunakan ketika waktu terdesak apatah lagi harga barangan keperluan makanan harian adalah lebih mahal berbanding pendapatan yang diperolehi.

    “Harapan saya memang tinggi mahu anak-anak mengubah hidup kami sekeluarga dan saya tahu pendidikan itu caranya. Cuma, bila masuk sekolah menengah banyak belanja diperlukan berbanding sekolah rendah dan saya takut tidak mampu untuk hantar Jelita, anak sulung kami tahun depan sekolah menengah walaupun dua anak lagi belum cukup umur bersekolah,” katanya.

    Kesukaran hidup itu menyebabkan kebanyakan masyarakat Orang Asli terpaksa mengutamakan ‘makanan’ berbanding ‘pendidikan’ dan menurut Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along, 35, situasi berkenaan tidak hanya berlaku di Pos Simpor tetapi majoriti kawasan pedalaman lain.

    Kesempitan hidup membuatkan mereka terpaksa mengutamakan dahulu makanan keluarga apatah lagi situasi menjadi lebih parah apabila hasil tanaman musnah dirosakkan gajah atau ‘orang besar’.

    Menjelaskan lebih lanjut, Mustafa berkata serangan haiwan liar itu semakin kerap sejak kebelakangan ini kesan aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah yang mengakibatkan tanaman seperti ubi kayu, sayur-sayuran dan buah-buahan musnah dirosakkan haiwan berkenaan selain nyawa mereka juga turut terancam.

    “Biasanya sebelum ini, duit jualan getah boleh kami simpan untuk kegunaan anak sekolah tetapi sekarang makin sukar apabila semakin banyak serangan ‘orang besar’, babi hutan, monyet di kebun kami selepas hutan di bahagian Pos Bihai, banyak diteroka menyebabkan haiwan itu cari makanan di Pos Simpor kerana hutan di sini masih lagi terpelihara.

    “Ini sangat beri kesan kepada kami sebabnya hasil cucuk-tanam itu boleh digunakan untuk menampung keperluan makanan harian tetapi kerana serangan itu, kami perlu membeli sumber makanan yang dijual di sini dengan harga sangat mahal,” katanya.
    .
    Berhenti belajar demi keluarga

    Pendapatan yang tidak seimbang dengan keperluan hidup harian masyarakat pedalaman menyebabkan mereka terus ‘dibelit’ kemiskinan.

    Menurut Mustafa, meskipun kerajaan ada menghulurkan bantuan seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BTM) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), namun sebahagian besar tidak layak memohon kerana ladang getah Orang Asli di pedalaman Gua Musang tidak memiliki geran.

    “Dalam hal ini, Orang Asli diberikan kelonggaran untuk mendapatkan surat pengesahan dari JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang mereka mengusahakan ladang berkenaan. Namun, disebabkan faktor kos untuk keluar ke bandar agak tinggi, ramai tidak mendaftar dan memohon Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), akibatnya tidak melayakkan mereka untuk menerima bantuan itu,” katanya.

    Mengakui mereka tidak ada pilihan lain, Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Orang Asli Kuala Wook, Jimi Angah, 46, berkata, situasi ini bertambah parah apabila Orang Asli yang tinggal di hutan simpan kekal tidak dibenarkan membawa keluar hasil hutan untuk tujuan komersial.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi tujuan berkenaan diluluskan Dewan Negara pada 8 Ogos 2022 bertujuan mengawal proses pewartawaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal serta memantapkan penguatkusaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.

    Cuma ia juga menutup sumber rezeki utama Orang Asli yang dilakukan sejak berzaman selain getah apabila mereka tidak dapat mencari hasil hutan seperti rotan bagi menampung keperluan menyara keluarga dan menyekolahkan anak-anak.

    “Kalau dulu, berkampung dalam hutan seminggu boleh dapat lebih RM1,000 apabila dapat mencari lebih 200 rotan kerana harga rotan memang sangat mahal, sebatang boleh cecah antara RM4 hingga RM5 tetapi kami hilang rezeki itu dan susah cari makan dan hantar anak ke sekolah,” katanya.

    Kemiskinan yang membelenggu mereka sejak sekian lama membuatkan ada anak-anak pedalaman ini akhirnya hilang motivasi, minat belajar khususnya yang sekolah menengah sehingga mengambil keputusan berhenti sekolah dan keluar dari kampung untuk bekerja di luar bagi membantu keluarga.

    Kemiskinan punca keciciran?

    Bagi guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Nik Rozman Nik Yaacob, beliau tidak menafikan kehadiran murid Orang Asli yang bersekolah di situ biasanya terjejas pada awal tahun sekitar 30 peratus, pada musim tengkujuh (50 peratus) serta ketika musim buah-buahan atau menuai padi (30 peratus).

    Keadaan itu membuatkan ramai tercicir apabila tidak dapat mengikuti pembelajaran semasa yang mengakibatkan majoriti murid tidak mengingati apa yang dipelajari sekembalinya mereka ke sekolah.

    “Sekolah mempunyai seramai 236 murid dan daripada jumlah itu, 109 murid menetap di asrama daripada 12 buah kampung Pos Simpor. Walaupun diberi kemudahan asrama, bantuan makanan dan sebagainya awal tahun, tetapi pada musim tengkujuh dan musim buahan-buahan, mereka biasanya tidak pergi sekolah.

    “Anak Orang Asli biasanya akan tolong ibu bapa mereka ambil hasil buah-buahan dan padi yang digunakan untuk kegunaan sendiri sebab kalau lambat, ia akan rosak selain ancaman haiwan liar. Nak upah orang, kena ada wang untuk bayar jadi lebih baik anak yang bantu,” katanya.

    Mengajukan polemik berkenaan kepada bekas senator yang mewakili masyarakat Orang Asli Datuk Isa Ab Hamid, beliau tidak menafikan ‘kemiskinan’ yang masih membelenggu komuniti itu antara punca utama berlakunya keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak mereka.

    Ini memandangkan, kadar kemiskinan masyarakat Orang Asli pada 1999 seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) adalah sebanyak 50.9 peratus, namun menurut Isa tinjauan dan turun padang yang dilakukannya ke perkampungan Orang Asli mendapati situasi semakin serius khususnya pasca COVID-19.

    Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik berkata, insiden kemiskinan dalam kalangan lebih 200,000 Orang Asli di seluruh negara adalah kira-kira 34 peratus sebelum dilanda pandemik COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...