Orang asli Sungai Gapes bakal terima surau pertama

KAMPAR – Rumah Amek atau nama sebenarnya Nur Halimah Abdullah@Bah Tarek menjadi lokasi umat Islam di perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom di sini untuk bersolat jemaah dan mendalami ajaran Islam, berikutan ketiadaan surau di kawasan itu sejak 25 tahun lepas.

Rumah dimiliki Amek yang bermaksud ibu dalam bahasa Semai itu telah dijadikan pusat pertemuan untuk merapatkan saf selain tujuan beribadah kira-kira tiga tahun lepas kerana Nur Halimah merupakan antara individu pertama memeluk Islam di kampung itu pada 1996.

Beliau yang berkahwin dengan lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 19 tahun berkata ruang solat yang disediakan di rumahnya hanya mampu memuatkan seramai 20 jemaah.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi komuniti kecil umat Islam membabitkan enam keluarga di situ dijangka selesai apabila kakaknya, Wan Icha Bahtarek, 56, bersetuju untuk menghadiahkan tanahnya untuk dijadikan sebuah surau yang dijangka dapat memuatkan 40 jemaah.

Walaupun bukan beragama Islam, Wan Icha berlapang dada memberikan tanahnya sebagai tanda kasih sayang sebuah keluarga agar komuniti itu memiliki surau pertama mereka di kawasan tersebut yang turut mempunyai gereja berdekatan.

Amek atau nama sebenarnya Nur Halimah Abdullah@Bah Tarek (kanan) menunaikan solat Maghrib yang diimamkan oleh Pembantu Hal Ehwal Agama Islam (Mubaligh) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Abd Halim Abdul Latiff (kiri) di kediamannya perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom baru-baru ini. – Bernama

“Saya harap surau baharu itu dapat dibina segera supaya kami dan orang luar yang datang ke kampung ini dapat menunaikan solat di situ. 

“Sebelum ini banyak program diadakan di sini termasuk program anak angkat bersama institut pengajian tinggi yang turut menunaikan solat berjemaah di rumah saya, jadi selepas ini mungkin surau itu dapat digunakan untuk orang ramai yang datang,” kata Amek kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Amek berkata surau berkeluasan 20×40 kaki persegi itu bakal dibina menggunakan wang sumbangan orang ramai menerusi dana dikumpulkan sebuah badan bukan kerajaan, Street Dakwah yang kini mencecah anggaran RM40,000.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Kampar, tapak surau yang berada di tengah-tengah kampung itu amat strategik sebagai pusat aktiviti masyarakat sekampung dan sekitarnya untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Agama Islam (Mubaligh) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Abd Halim Abdul Latiff berkata pihaknya akan mengadakan kursus dan latihan yang bersesuaian kepada komuniti tersebut termasuk menyediakan pelapis pendakwah dalam kalangan mereka. – Bernama