Orang awam terus prihatin

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa lima penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang peribadi menghulurkan sumbangan pada 28 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Fleur De Lys Bakeshop dan Aewon yang masing-masing menyumbangkan air minum botol; FOC Management menyumbangkan scrub pelbagai saiz; Nurul Khairunnisa Jupry menyumbangkan periuk nasi, cerek, campuran kopi 3 dalam 1, keropok, lampin dewasa, teh buah, biskut, mi segera, bateri, pencuci tangan, makanan dalam tin, pensanitasi tangan dan barangan untuk kanak-kanak manakala itu, Belia Masjid Prihatin menyumbangkan meja, sarung tangan, scrub, periuk nasi, fog machine dan air purifier.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan supaya berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Pelbagai sumbangan yang diserahkan Belia Masjid Prihatin.
Sumbangan daripada Aewon berupa air minum botol.