Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Orang berkeperluan khas di Tehran hadapi kesukaran

    TEHRAN – Kesesakan dan kepadatan lalu lintas di Tehran telah menyisihkan Navid, seorang penderita penyakit sklerosis dan membuatnya seperti seorang tahanan di rumahnya.

    Malah bagi mereka yang berupaya, pembinaan bangunan yang tidak terkawal pada tahun-tahun kebelakangan ini telah menjadikan jalan-jalan di ibu kota Iran itu semakin sempit, manakala laluan pejalan kaki semakin terhakis, dan menghimpit pergerakan air.

    Manakala deretan kereta memenuhi lereng-lereng jalan dan memenuhi setiap ruang yang tersedia.

    Bagi beribu-ribu orang kurang upaya di Tehran, jalan-jalan berbukit adalah zon yang tidak dapat dilalui.

    “Sahabat-sahabat saya adalah empat dinding di sekeliling saya ini. Saya sangat letih memandang siling,” kata Navid Salahi, seorang lelaki berusia 30 tahun yang merasa terkurung bersama kerusi rodanya itu setelah didiagnosis dengan pelbagai sklerosis ketika masih kecil lagi.

    Behnam Soleimani melintasi jalan di Tehran. – AFP
    Behnam Soleimani, seorang guru komputer warga Iran berusia 34 tahun yang menggunakan kerusi rodanya, menunggu di perhentian bas di Tehran. – AFP

    “Saya takut untuk keluar bersendirian. Ia sangat teruk. Walaupun hanya berada di depan pintu rumah saya, mencuba untuk mendapatkan teksi, saya telah terjatuh sebanyak dua kali kerana keadaan jalan raya yang tidak rata. Ibu saya telah menolong pergerakan saya ini,” katanya kepada AFP.

    Majlis bandar raya itu telah menawarkan perkhidmatan bas bagi orang-orang berkeperluan khas, yang mana mesti ditempah dua hari lebih awal.

    Ia membantunya untuk pergi ke tempat pekerjaannya di pusat pemulihan orang-orang berkeperluan khas setiap hari.

    “Sudah tentu, sebaik sahaja anda membuat tempahan, ia mungkin datang atau tidak untuk menjemput anda,” kata Navid.

    Dengan pentadbiran reformis baru yang dikuatkuasakan di Tehran, aktivis orang-orang berkeperluan khas mengharapkan satu perubahan.

    “Orang berkeperluan khas di tempat kami ini kebanyakannya terbiar dan tertekan,” kata Fatemeh Nikbakht, yang mengendalikan Spinal Cord Injury Association, yang mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli.

    “Malah seorang lelaki tua atau seorang wanita bersama dengan anaknya tidak dapat bergerak dengan mudah di kawasan bandar kami ini,” katanya.

    Angka rasmi menunjukkan bahawa terdapat 94,000 orang kurang upaya di Tehran, walaupun kumpulan penyokong mengatakan angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.

    Mereka jarang dilihat di jalan-jalan yang sibuk, atau berada di dalam bas dan sistem metro bandar itu kerana untuk sampai ke stesen-stesen tersebut sudah hampir mustahil.

    Pihak kerajaan telah menyedari dengan masalah ini.

    “Seseorang yang berkeperluan khas tidak boleh bergerak walaupun 1,000 meter di laluan jalan kaki atau jalan raya tanpa mengharungi pelbagai halangan,” kata Menteri Pengangkutan, Abbas Akhoundi, memberitahu akhbar harian tempatan, Etamad, pada awal tahun ini.

    Fatemeh Taqizadeh, warga Iran, bekerja di pejabatnya di organisasi bukan kerajaan Bavar (‘Kepercayaan’) yang membantu orang-orang berkeperluan khas di Tehran. – AFP
    Fatemeh Nikbakht, yang kehilangan kakinya semasa kemalangan pada tahun 1990-an dan kini mengendalikan Spinal Cord Injury Association, kelihatan sedang melalui tanjakan khas dengan menggunakan kerusi rodanya di Tehran. – AFP

    “Jalan-jalan raya ini mempunyai banyak lopak, bonggol, keadaan jalan yang tidak sekata dengan aras tanah, melebar atau semakin menyempit.

    Malah mereka yang sihat juga tidak dapat menangani keadaan ini,” tambah lagi.

    Ghairah dalam pembinaan bangunan ini – didorong oleh kredit murah dan memburu aset selamat di tengah-tengah sekatan dan kemelesetan – bermakna ianya telah hampir kepada mustahil untuk berdiri di mana-mana kawasan di Tehran tanpa melihat kren dan rangka blok perumahan atau pusat membeli-belah yang baru.

    Hanya sedikit ruang khas yang disediakan di dalam bangunan-bangunan atau direka bentuk bagi pengguna-pengguna berkeperluan khas ini, kata aktivis.

    “Kebanyakan taman, pawagam, pusat membeli-belah atau ruang awam tidak dapat diakses,” kata Behnam Soleimani, seorang guru komputer berusia 34 tahun yang menggunakan kerusi roda.

    Dia telah menunggu selama beberapa tahun untuk majlis itu membalas permintaannya agar disediakan tanjakan di pintu masuk bangunannya itu.

    “Batu buntar yang sudah rosak di kaki lima mungkin tidak dapat dilihat oleh pejalan kaki yang sihat tetapi ia adalah satu krisis bagi seseorang yang berada di kerusi roda,” katanya.

    Tonggak jalan yang telah didirikan pada laluan pejalan kaki dan di lorong pejalan kaki bagi menyekat pengguna motosikal daripada menggunakannya untuk melarikan diri dari kesesakan lalu lintas juga secara tidak langsung telah memberikan masalah bagi mereka yang kurang upaya ini.

    Beberapa langkah-langkah terbaik juga tidak berkesan. Pengguna media sosial telah menghina lorong-lorong baru bagi pengguna yang buta dengan gambar menunjukkan bahawa ianya telah menuju terus ke pokok dan parit.

    Datuk Bandar yang konservatif di Tehran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menjanjikan bulan lalu bahawa 60 buah bas ramah mesra orang berkeperluan khas akan segera menyertai armada pengangkutan awam ini, dan penambahbaikan aksesibiliti itu akan menjadi sebahagian daripada bajet perbelanjaan pengangkutan masa depan.

    Tetapi penyokong orang berkeperluan khas mengatakan bahawa mereka telah mendengar janji-janji ini dalam masa yang lama.

    Daripada kebanyakan projek-projek perintis ini, hanya sedikit sahaja yang dilakukan bagi penduduk yang berkeperluan khas secara kesuluruhannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda