Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Orang bijak ingat ajalnya – Khatib

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Ajal datang menjemput pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira sama ada seseorang itu lemah, sakit dan tua, malah orang yang kuat, sihat dan muda pun tidak akan terlepas daripada maut.

    Oleh yang demikian, jangan lalai dan leka daripada mengingati mati, kerana kematian itu merupakan sesuatu perkara yang pasti akan terjadi, tetapi bila, di bumi mana dan bagaimana caranya, hanya Allah saja yang mengetahuinya, ujar khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Ingat-ingatlah kematian’.

    Khatib turut menegaskan orang yang tidak ingat terhadap kematian sentiasa berada dalam kerugian dan menyeru umat Islam agar jangan terlalai dan terleka dengan tipu daya dan kesenangan dunia tanpa meningkatkan keimanan dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT.

    “Bertaubat dan beribadatlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana, kita tidak tahu bila ajal akan tiba, mungkin hari ini, mungkin esok atau mungkin lusa,” nasihatnya.

    Sudah menjadi lumrah, katanya, sifat semula jadi manusia kurang ingat jika tidak diberi peringatan.

    Gambar Media permata

    Kematian tidak mudah untuk mengingatinya melainkan sudah ada amaran yang jelas mengenainya dan antara amaran mengingati mati itu seperti selalu sakit, tumbuh uban, umur tua, kurang penglihatan, kurang pendengaran dan seumpamanya.

    Itu pun, tegas khatib, bukan semua orang bijak hendak mengambil peringatan daripadanya dan perlu diingat setiap yang bernyawa pasti merasa mati dan tidak ada yang tahu bila akan terjadi, kematian adalah ketentuan Allah yang pasti akan terjadi dan apabila sampai waktu dan ketikanya, ajal tidak akan dipercepat atau dilambatkan walau sesaat pun.

    Terkadang kita lalai dan lupa mengingati mati dalam menjalani kehidupan sehari-hari, mencari rezeki untuk hidup, mengurus hal ehwal keluarga, anak-anak, hal pekerjaan dan apa juga urusan dunia.

    Untuk itu hendaklah mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan sebagai bekal untuk menuju ke kebahagiaan hidup di akhirat kelak, di mana dalam agama Islam disunatkan untuk mengingati mati dan ini jelas diterangkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

    Khatib turut mengongsikan cara untuk mengingati mati dengan muhasabah diri, membayangkan saat kematian, membaca kisah yang berkaitan dengan kematian, menziarahi orang sakit, menyempurnakan dan menghantar jenazah ke kubur, menziarahi kubur dan seumpamanya.

    Selain itu, dalam perkara mengingati mati juga manusia itu terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan yang tidak mengingati mati, bahkan sangat jauh daripada mengingatinya dan lebih sibuk dengan urusan dunia.

    Selain itu, golongan yang banyak mengingati mati untuk menimbulkan rasa takut dan gerun supaya dia lebih banyak bertaubat, golongan sangat menantikan saat kematian kerana berasa rindu untuk bertemu dengan Maha Pencipta.

    Khatib turut mengongsikan, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda menjelaskan, orang yang mengingati mati dianggap sebagai orang bijak.

    Katanya lagi, “Antara ke-utamaan dan kelebihan bagi orang yang sentiasa mengi-ngati mati itu ialah ia melembutkan hati untuk segera bertaubat, menjaga diri daripada melakukan perbuatan dosa, mungkar dan maksiat.”

    Selain membangkitkan semangat untuk mempertingkatkan lagi amal ibadat dan amal kebajikan, melunturkan kecintaan terhadap dunia, menjaga diri daripada bersikap rakus dan tamak terhadap kesenangan dan nikmat dunia dan mendidik diri supaya bersikap rendah hati, tidak sombong dan tidak berlaku zalim.

    Sebagai orang Islam sudah setentunya mengimpikan dan mengharap agar dimatikan dalam keadaan husnul khatimah iaitu kesudahan yang baik dan antara cara untuk mendapatkannya dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

    Di samping itu, dianjurkan untuk sentiasa memanjatkan doa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar pengakhiran hidup dalam iman dan takwa.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...