Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Orang dipindahkan di Myanmar cecah 1 juta – PBB

    YANGON, 1 JUN – Keganasan selepas rampasan kuasa telah menekan jumlah orang yang dipindahkan di Myanmar lebih satu juta buat pertama kali, kata PBB, memberi amaran keadaan ‘teruk’ ketika monsun melanda dan pertempuran mengganas.

    Hampir 700,000 orang telah dipaksa meninggalkan rumah mereka sejak kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan tahun lalu, kata Pejabat PBB bagi Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), kelmarin.

    Militia awam telah membentuk sebuah kumpulan untuk menentang rampasan kuasa di negara itu dan junta membalasnya dengan serangan hebat yang menurut kumpulan hak asasi memusnahkan kampung-kampung, pembunuhan sewenang-wenangnya dan serangan udara ke atas orang awam.

    Insiden keganasan itu telah ditambah kepada anggaran 346,000 orang yang sudah pun dipindahkan sebelum rampasan kuasa.

    Ini termasuk mereka yang terjejas oleh konflik berlarutan dengan kumpulan pemberontak etnik di sepanjang sempadan Thailand dan China, dan etnik Rohingya Islam dipaksa berpindah dari rumah mereka semasa tindakan keras dan kejam pada 2017.

    UNOCHA berkata lebih 12,000 harta-benda orang awam dianggarkan telah dibakar atau dimusnahkan sejak pemberontakan kilat itu, dengan hujan monsun yang bakal tiba mengancam lebih banyak penderitaan kepada mereka yang tinggal di kem penempatan.

    Lebih 300,000 mereka yang dipindahkan sejak rampasan kuasa itu berasal dari rantau Sagaing, di mana pejuang sering bertempur dengan pasukan junta, tambahnya.

    Ia juga memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menyekat perkhidmatan data mudah alih di Sagaing dan Magway, selain ‘sekatan’ yang menjejaskan pengangkutan beras, ubat-ubatan dan minyak.

    Menurutnya, laporan mengatakan terdapat keperluan terdesak bagi perkhidmatan kesihatan, makanan dan barangan bantuan serta penginapan di kawasan-kawasan itu,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...