Orang ketiga punca Afieq, Wani dingin?

Penyanyi Afieq Shazwan tidak pernah mengiyakan atau menidakkan hubungan istimewa terjalin bersama Wani Kayrie, namun persoalan bakal terjawab menerusi single terbaharu yang bakal dilancarkan September depan.

Memilih judul Gerak Lu ciptaan DJ Fuzz, Afieq memberi bayangan single berkenaan ada kena mengena dengan kisah hidupnya. Malah, yakin peminat yang mendengarkannya akan mengetahui isi hati yang terpendam.

Afieq berkata, single bergenre R&B itu secara umumnya berkisar hubungan percintaan yang tidak berakhir dengan indah.

Mengulas adakah ia mempunyai kaitan dengan kisah percintaan bersama penyanyi lagu Jangan-Jangan itu, Afieq mahu peminat mendengarkan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, penyanyi yang digilap menerusi program Idola Kecil pada 2008 itu akhirnya membuka cerita mengenai hubungannya bersama Wani semakin dingin.

Sudah hampir empat bulan hubungan Afieq dan Wani renggang. – Agensi

Tidak tahu punca dan silap, Afieq berkata, sudah hampir empat bulan hubungan mereka renggang.

“Kami tiada tarikh rasmi putus seperti pasangan lain. Cuma, hubungan menjadi semakin dingin sejak empat bulan lalu. Sebelum ini, kami rapat dan saling mengambil berat, kini tidak lagi.

“Jika sebelum ini sering bertembung di kampus, sekarang sudah jarang berjumpa. Pendek kata, sekarang ini lebih banyak tidak daripada iya. Benar, kami tak pernah umum bercinta, tetapi hubungan kami memang rapat.

“Cuma, tak tahulah kenapa hubungan berakhir begini. Saya tak pasti siapa menjauhkan diri, adakah dia atau saya tanpa disedari. Namun, jika ditanya adakah kecewa, sudah tentu saya terkilan kerana kami sudah membina keakraban sejak dua tahun lalu.

“Mungkin juga Wani sudah menemui lelaki yang disukai,” katanya.

Afieq berkata, dia percaya Wani sudah berjumpa dengan keselesaan yang baharu selepas hubungan renggang.

“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya. Bagaimanapun, saya bersikap profesional dan tidak kisah jika dikehendaki bekerjasama dengannya,” katanya.

Sudah membuka hati untuk gadis lain, Afieq berkata, single Gerak Lu menceritakan bagaimana dirinya melupakan episod kegagalan dalam perhubungan.

“Single ini sedikit sebanyak ada tempias dengan kehidupan saya. Cerita dalam single ini bagaimana saya cuba ‘move on’ daripada kegagalan perhubungan,” katanya. – Agensi