Friday, August 19, 2022
30.5 C
Brunei

Orang ketiga punca Nabila putus cinta

-

Menyelak semula helaian kisah yang pernah melingkari kehidupan peribadi Nabila Razali, sudah beberapa kali penyanyi dan pelakon popular ini diserang virus cinta, namun, hakikatnya, tiada satu pun menjangkitinya.

Meskipun pernah didakwa menjalinkan hubungan dengan beberapa selebriti seperti Khai Bahar, Hael Husaini dan MK K-Clique, semuanya hanya sekadar gosip liar yang kemudiannya hilang dibawa angin lalu.

Justeru, apabila secara tiba-tiba Nabila atau lebih mesra disapa Bella membuat pengakuan cintanya terlerai di tengah jalan, ia cukup mengejutkan ramai.

Mengimbau semula pengalaman yang amat menyakitkan, tanpa berselindung pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali ini mendedahkan, perpisahan berlaku disebabkan kehadiran insan ketiga.

“Si dia bukanlah dalam orang seni dan usia kami lebih kurang sebaya. Saya sangkakan, dia gembira dan selesa dengan hubungan yang terjalin ini, namun, sebaliknya pula terjadi.

Suara hati Nabila dalam single Putus dedah kisah cintanya yang tidak kesampaian. – Agensi

“Punca perpisahan disebabkan orang ketiga, tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana cinta tidak boleh dipaksa. Walaupun perit untuk ditelan, namun, saya reda dan anggap kami memang tidak ditakdirkan untuk hidup bersama.

“Saya hanya mampu bersabar dan berdoa kepada Yang Maha Esa moga dipertemukan dengan pengganti yang boleh menyayangi dan menerima diri saya seadanya pada suatu masa nanti,” luahnya.

Bagi penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Cemburu dan Pematah Hati ini, pengakuannya itu pasti akan mengejutkan ramai kerana tidak pernah berkongsi soal hati dan perasaan sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.

“Bagi saya, soal peribadi biarlah menjadi rahsia dan tidak perlu dihebahkan. Malah, keluarga saya tidak tahu yang anaknya ini pernah bercinta dan putus cinta.

“Cuma, saya rasa mahu berkongsi kisah yang tidak diinginkan ini, tetapi bukanlah sepenuhnya,” katanya yang baru sahaja meraikan ulang tahunnya ke-29 pada 13 November lalu.

Pendedahan dibuat pelakon drama rantaian, Hikayat Si Pematah Hati dan Kebaya Kasut Merah itu secara tidak langsung turut menjawab spekulasi yang bertebaran kononnya dikongkong pengurusnya, Mohd Asrul Abdul Talib atau Ash apabila dilarang untuk bercinta.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah dikongkong atau dilarang untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki seperti yang didakwa,” tegasnya.

Walaupun kesetiaan dikhianati, namun, istilah serik mendambakan cinta sejati tidak pernah wujud dalam kamus hidup bekas graduan Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.

“Setiap apa yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. Saya yakin dan percaya Allah pasti memberi ganjaran lebih baik buat saya selepas ini,” ujarnya optimis.

Segala kesedihan dan rintihan berperang dalam diri turut diluahkannya menerusi baharu berjudul Putus yang mula diperdengarkan kepada peminat sejak pertengahan bulan ini.

“Menerusi single Putus, saya berkongsi perasaan kecewa dan sedih kepada peminat.

“Ini juga suara hati saya kepada bekas kekasih dan berharap tidak akan melukakan perasaan wanita lain sebagaimana menyakiti hati ini,” katanya. – Agensi

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -