Orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah semasa kempen menderma darah yang akan diadakan pada waktu malam, 18 Jun di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Kempen anjuran Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal itu akan bermula dari pukul 7:30 hingga 9:30 malam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pada masa ini, Pusat Pendermaan Darah memerlukan semua jenis darah bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit Talasemia, pesakit yang mempunyai masalah pendarahan dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa ditahap yang optima dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah semasa waktu pejabat.

Kempen derma darah pada waktu malam berkenaan juga memerlukan orang ramai untuk membuat perjanjian terlebih dahulu melalui laman sesawang https://calendly.com/bdcripas.

Orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah semasa kempen menderma darah pada 18 Jun di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS. – Gambar oleh Muiz Matdani