Orang ramai digesa terus kekal berwaspada

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengekalkan kewaspadaan memandangkan masih terdapat kekhuatiran mengenai penularan gelombang kedua COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Dato membuat nasihat berkenaan memandangkan amalan penjarakan sosial terutamanya di gerai perayaan dan ketika beriadah semakin berkurangan.

“Kalau orang di tempat ramai tidak membuat penjarakan sosial, kita mesti membuatnya dan patut menjadi contoh.

“Hanya kerana orang di sebelah (tidak melakukan penjarakan sosial), kita saja membuat (dengan) menggunakan penutup mulut dan hidung jika ada kekhuatiran di tempat yang sesak ramai orang,” Yang Berhormat Dato menambah semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. Beliau menegaskan bahawa perkara yang penting adalah menggunakan kod QR BruHealth.

“Kadang-kadang kita belum biasa, oleh yang demikian, mana-mana premis perlu diberi peringatan untuk sentiasa mengesan kod QR tersebut.

“Ini adalah untuk penjagaan diri dan keluarga awda, dan sudah setentunya orang ramai. Jika terjadinya penularan, ini akan dapat mengesan kontak dengan lebih cepat,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurutnya lagi, tanggungjawab sosial itu masih lagi diperketatkan atau diperkuatkan bagi memastikan negara boleh melimpasi tahap keempat ini kepada normal baharu.

“Normal baharu bukan bererti boleh buat sesuka hati. Normal baharu ialah untuk menjadi lebih berdisiplin dan untuk memastikan apa yang kita lalui di tahap keempat ini untuk kita patuhi,” tekan Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru kepada orang ramai agar terus mengamalkan penjarakan sosial.