Orang ramai disaran terus amal tanggungjawab sosial

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Orang ramai disarankan untuk terus mengamalkan sikap tanggungjawab sosial masing-masing, walaupun penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal tetapi masih terdapat kebimbangan bahaya jangkitan di luar sana.

Saranan itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam temu bual ringkas selepas majlis penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menekankan bahawa semua orang harus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga diri semua terutama apabila kita bergerak ke arah norma baharu.

Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan daripada pelbagai pihak kepada tabung COVID-19 Relief Fund, Yang Berhormat Dato berkata bahawa sumbangan itu memberikan impak yang besar kepada semua terutama dengan sebahagian besar hasil kutipan disalurkan kepada pembinaan bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan yang baharu yang mana ia merupakan sebuah hospital pakar yang unik yang dibina oleh orang ramai.

“Ia adalah amat unik kerana ia dibina oleh orang ramai dan tidak banyak negara boleh berkata begitu.”

Yang Berhormat Dato berkata bahawa penduduk negara ini harus berbangga dengan pencapaian itu dan dengan kepimpinan penuh bijaksana serta pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan setiap rakyat dan penduduk negara dijaga serta mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak termasuk orang ramai, syarikat-syarikat swasta, badan-badan dan persatuan-persatuan yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan di mana ia menunjukkan sikap pemurah dan penyayang setiap penduduk dan rakyat di Negara Brunei Darussalam.