Orang ramai diseru beralih kepada siaran TV digital RTB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Radio Televisyen Brunei (RTB) memaklumkan orang ramai bahawa siaran televisyen analog yang dipancarkan dari Stesen Pemancaran Andulau, Daerah Beliat secara rasminya ditutup bermula 31 Julai.

Sementara itu, siaran televisyen analog yang dipancarkan dari Stesen Pemancaran Bukit Subok akan mula ditutup pada 31 Disember nanti, RTB memaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, siaran televisyen analog merupakan sistem penyiaran yang sudah tidak lagi diguna pakai oleh stesen-stesen penyiar antarabangsa selaras dengan perkembangan teknologi penyiaran pada masa ini.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru untuk beralih kepada siaran televisyen digital RTB untuk menerima siaran yang bermutu tinggi dan audio yang lebih jelas berbanding dengan siaran analog.

Menurut kenyataan RTB, siaran digital televisyen RTB dapat diterima dengan menggunakan peralatan penerima digital (receiver) yang sesuai iaitu sama ada melalui alat Set-Top-Box (STB), sejenis alat penerima siaran televisyen digital, atau set televisyen digital yang mempunyai integrated digital television tuner (iDTV) dengan sistem DVBT2.

Selain daripada itu, peralatan aerial turut memainkan peranan penting untuk memastikan penerimaan siaran televisyen digital dapat diterima dengan jelas.

Memandangkan terdapatnya sebahagian kawasan di negara ini yang berbukit-bukau, orang ramai disarankan untuk memasang outdoor aerial jenis Ultra High Frequency (UHF) dengan menghalakannya ke Stesen Pemancaran Andulau bagi Daerah Belait dan sebahagian Daerah Tutong dan ke Stesen Pemancaran Bukit Subok jika berada di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Bagi kawasan yang terletak jauh dari stesen-stesen berkenaan, para penonton disarankan untuk memasang booster bagi mendapatkan siaran yang optimum.

Terma-terma teknikal ini boleh dirujuk kepada para pembekal atau penjual peralatan bagi memastikan orang ramai mendapatkan jenis set televisyen dan alat STB yang betul.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi terus Network Operation Centre, RTB di talian 2384666 sambungan 3137 atau di Seksyen Perhubungan Korporat di talian 2243111 sambungan 212 pada waktu bekerja.