Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Orang ramai diseru patuhi langkah kawalan baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kerjasama padu daripada orang ramai adalah amat diperlukan untuk sama-sama berusaha dengan pihak kerajaan termasuk agensi-agensi penguatkuasaan dalam menangani serta mengawal penularan wabak COVID-19.

Dalam hubungan itu, orang ramai diseru untuk sama-sama membantu dalam usaha membendung dan mengawal penularan wabak berkenaan.

Seruan dan saranan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan yang dikemukakan mengenai pelaksanaan langkah-langlah kawalan serta strategi tambahan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 semasa Sidang Media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa seperti dapat disaksikan, dalam tempoh dua bulan ini, kerajaan telah berusaha untuk mengurus dan mengawal penularan COVID-19 di mana dapat disaksikan bahawa jumlah jangkitan COVID-19 masih lagi tinggi dengan jumlah pada hari ini, melebihi 200 kes.

Beliau menambah bahawa beberapa minggu lalu, jumlah itu dijangka akan menunjukkan penurunan tetapi kini, ia masih belum turun kerana masih terdapat orang ramai yang bergerak termasuk melawat rakan-rakan dan mengadakan majlis keraian.

Semua itu, tekannya, menyebabkan jumlah kes terus masih berada di tahap yang tinggi dan bagi menangani perkara itu, ia memerlukan pendekatan yang berbeza dengan tidak hanya mengharapkan sepenuhnya agensi-agensi penguatkuasaan.

Pada masa yang sama, mereka harus memperkukuhkan lagi aktiviti-aktiviti agensi-agensi penguatkuasaan tetapi juga memerlukan kerjasama padu daripada segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan bagi menangani dan mengawal penularan wabak ini.”

Dalam hubungan itu, bukan sahaja memperkukuhkan lagi aktiviti-aktiviti penguatkuasaan tetapi juga mendapatkan bantuan daripada ketua kampung dan penghulu untuk sama-sama membantu khususnya di mukim dan kampung masing-masing, dalam memastikan supaya tidak berlaku sebarang aktiviti perkumpulan.

“Kita juga telah mengadakan talian hotline bagi mereka untuk menghubungi pihak kami di mana ia merupakan talian 24 jam dan kami juga mengehadkan pergerakan di antara pukul 8 malam hingga 4 pagi kerana ini merupakan waktu di mana kami melihat ramai orang mula untuk berkumpul atau melawat di antara satu sama lain pada waktu ini,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa langkah mengehadkan pergerakan itu, dihasratkan untuk menghindarkan mereka daripada terus melakukan perkara berkenaan tetapi kerajaan masih membenarkan pekerja-pekerja yang diperlukan untuk keluar dan melakukan tugas masing-masing bagi manfaat masyarakat.

Kesemua usaha itu, jelas Yang Berhormat Dato lagi, adalah amat penting untuk memastikan supaya orang ramai akan mengurangkan pergerakan mereka serta cuba mengurangkan jumlah itu seberapa rendah yang mungkin.

“Ini adalah kerana sistem hospital kita pada masa ini telah hampir penuh di mana sebanyak kira-kira 78 peratus katil telah diisi,” tekan beliau.

Selain itu, statistik turut menunjukkan bahawa 75 peratus mereka yang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) adalah mereka yang belum divaksinasi, 17 peratus telah menerima satu suntikan vaksin serta 8 peratus adalah mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Oleh itu, jelas Yang Berhormat Dato, kemungkinan mereka yang menerima dua dos suntikan vaksin untuk dimasukkan ke NIC adalah rendah.

Pada masa yang sama, jika dilihat pada mereka yang berada di NIC, tidak ada seorang pun pesakit yang telah menerima dua dos suntikan vaksin berada dalam kategori 5 di mana ia menunjukkan bahawa jika seseorang itu telah divaksinasi, mereka adalah lebih selamat.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -