Orang ramai diseru patuhi SOP

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Orang ramai diseru untuk sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan dilaksanakan dengan baik apabila memasuki fasa peralihan pada 19 November yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

Walaupun teruja untuk memasuki fasa peralihan ini, namun diingatkan ia adalah masa yang penting untuk menentukan sama ada masyarakat mematuhi SOP atau tidak di dalam perkumpulan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan keluar apabila perlu saja.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menegaskan perkara ini pada sidang media hari ini di Dewan Al ‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato turut memberi respons kepada persoalan sama ada pembukaan perniagaan akan dibuka lebih awal dari tarikh fasa peralihan yang ditetapkan, memandangkan setakat ini hanya 69.7 peratus yang telah mendapatkan vaksinasi lengkap.

Beliau seterusnya menjelaskan, negara telah mencapai 69.7 peratus kelmarin yang mana kira-kira 1,300 orang lagi perlu melengkapi vaksinasi untuk memenuhi 70 peratus. Walau bagaimanapun, untuk fasa peralihan yang ditetapkan, kedai-kedai dan masjid-masjid perlu bersedia dan membuat persiapan yang rapi untuk membolehkan peralihan bermula pada tarikh yang telah ditetapkan.

“Seperti yang diketahui, pembukaan ekonomi bagi mana-mana negeri jika ia mematuhi SOP, kes akan menjadi terkawal,” tambahnya.