Orang ramai diseru segera isi kekosongan slot vaksinasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di pusat-pusat vaksinasi yang disediakan di negara ini agar ia dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Semasa sidang media hari ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan bahawa lebih 8,000 orang telah hadir mendapatkan vaksin di pusat-pusat yang disediakan di seluruh negara dengan mereka yang gagal menghadiri tempahan vaksinasi telah berkurang namun masih banyak kekosongan slot yang belum diisikan.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyeru agar orang ramai yang belum mendapatkan suntikan vaksin untuk memeriksa BruHealth masing-masing bagi mengisikan slot-slot yang ada, memandangkan terdapat banyak slot yang dibukakan dengan penambahan slot disediakan bagi semua pusat vaksinasi dalam melancarkan lagi matlamat program vaksinasi.

Menyentuh mengenai pemberian suntikan tambahan vaksin COVID-19 atau booster bagi para petugas barisan hadapan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa ia akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Mereka yang mendapatkan vaksin Sinopharm pada bulan April lalu akan didahulukan di mana mereka akan dihubungi terlebih dahulu secara berperingkat.

Apa yang penting buat masa ini, jelasnya adalah untuk memvaksinasi seboleh-bolehnya 80 peratus penduduk dan masyarakat di negara ini sebelum menjelang penghujung tahun ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyeru orang ramai yang belum divaksin untuk segera mendapatkan suntikan vaksin di pusat-pusat vaksinasi.