KENDAWANGAN, Indonesia, 23 Feb – Anak orangutan Vena dengan malu mengalihkan kepalanya dari botol ketika dua orang doktor veterinar cuba memberinya minum, orangutan Borneo terkini yang berjaya diselamatkan di Indonesia selepas ia dipelihara sebagai binatang kesayangan.
Para penduduk kampung di kawasan Indonesia di pulau Borneo yang diselimuti hutan kerap menyimpan orangutan, iaitu spesis terancam sebagai binatang kesayangan meskipun amalan itu menyalahi undang-undang.
Para pegawai hidupan liar dan pencinta alam sekitar telah menyelamatkan Vena, berusia tujuh bulan awal bulan ini dari seseorang di daerah Kendawangan yang telah memeliharanya.
Vena kini di bawah jagaan sebuah pusat yang dikendali oleh NGO International Animal Rescue (IAR) yang kakitangannya memastikan Vena sentiasa bersih dengan kerap menukar lampinnya dan memberinya minum susu melalui botol dengan tambahan vitamin.

Tahun lalu IAR telah menyelamatkan 22 orangutan yang sama ada telah dipelihara sebagai binatang kesayangan atau habitatnya, hutan semula jadi telah musnah akibat kebakaran besar hutan ekoran pembersihan tanah bagi penanaman.
Meskipun mereka dijaga dengan elok, seperti dalam kes Vena, para pencinta alam sekitar menekankan memelihara orangutan sebagai binatang kesayangan adalah tidak baik kerana itu bermakna mereka kemudian akan berdepan kesusahan untuk dapat bertahan hidup di hutan. – AFP